Monday, December 24, 2012

STUDY WEEK~

Bismillah, walhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Alhamdulillah juga atas nikmat yang jarang kita syukuri iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang.Salam dan selawat buat Rasulullah, kekasih hati yang tercinta. Salam mujahadah buat seluruh siswa dan siswi yang sedang bermujahadah dalam fatrah minggu ulangkaji ini.
Sepatutnya, minggu ulangkaji ini adalah tempoh dan ruang waktu yang paling menenangkan, namun sebaliknya juga boleh berlaku. Ya, mungkin kita perlu kembali bermuhasabah tentang matlamat dan tujuan utama kita mendaftarkan diri ke universiti. Adakah kita berada di sini, semata-mata untuk memperolehi ijazah kelas pertama sahaja? Jawapan itu ada di dalam hati kita.

Sahabat-sahabiah yang dikasihi Allah, dalam kita melalui perjalanan hidup kita sebagai penuntut ilmu Allah, kita turut dibentangi dengan mehnah dan tribulasi yang harus kita lalui. Kadang-kala, masalah keluarga menjelma. Terkadang juga, kita berperang dengan nafsu malas dan suka bertangguh-tangguh yang ada dalam diri kita. Kadang-kadang masalah peribadi meghantui diri kita. Semua itu datangnya dari Allah, sebagai kaffarah dosa dan wasilah untuk kita lebih taqarrub dengan-NYA.Ya Allah, pilihlah kami agar terus tabah.

Sabar kan indah.. ^_^
Menyoroti perjalanan hidup sebagai seorang mahasiswi di universiti islam, jiwa dan hati kita terkadang turut mahu kebebasan dan keterbukaan seperti orang lain. Melihatkan di sana sini, pasangan kekasih bercintan-cintun, berfesyen dalam pemakaian yang kelihatan telah melampaui syariat, mungkin terkadang terdetik juga mahu menjadi seperti mereka. Namun teman, ketahuiilah, jalan asing yang sedang engkau lalui itu lebih mulia dan membahagiakan berbanding mereka. Teruslah istiqamah dalam kebaikan, kerana Allah dan Rasulullah kasih kepadamu..

Cukuplah Allah bagiku.. :'(
Sudah tiada apa yang ingin disampaikan. Sekadar berkongsi apa yang dirasa dan dilihat dari mata kasar dan mata hati. La tahzan! In syaa Allah ada sinar dan hikmah yang tersirat di sebalik ketentuan itu. Teruslah melangkah, kerana perjuangan ini sememangnya payah. Tiada tempat terbaik untuk berpaut melainkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dalam seluruh urusan kita. Yakinlah, setiap apa yang Allah tentukan kepada kita, itulah yang terbaik di sisi Allah. ^_^

Firman Allah:
.."Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik untukmu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal itu buruk bagimu, sesungguhnya Allah mengetahui dan kamu tidak mengetahui.."

Ayuh, kita bermuhasabah apa yang telah kita lalui sepanjang tempoh pengajian di sini. Semoga esok lebih baik daripada hari ini. Ya Allah, kurniakanlah kekuatan...

_Mantapkan fardul muslimah, semoga Allah sayang_

Mulakan penghijrahan, sekarang!


Semoga cemerlang dalam peperiksaan. Bittaufiq wan Najah.. ^_^

Friday, June 1, 2012

29 Mei 2012

Bismillah, walhamdulillah.
Assalamu'alaikum. Alhamdulillah syukur kepada Allah, salam dan selawat kepada Rasulullah, salam tarbiyah buat semua. Semoga kita sama-sama memperoleh kebaikan, saling berkongsi kebaikan dan berlumba-lumba ke arahnya. Untuk pengisian kali ini, saya ingin kongsikan secebis kenangan manis yang saya rasakan mampu mendatangkan motivasi untuk kita semua. :)

Mungkin ada sahabat pengunjung pernah mengalami apa yang saya rasakan. Perasaan yang mendalam tetapi sukar untuk diungkap. Sebak? Sayu? Rindu? Rasa kehilangan? Segala rasa bercantum menjadi satu. Tetapi saya akui perasaan ini telah mencengkam hati saya. Saya jadi kehilangan mood. Daripada seorang peramah, saya menjadi kurang mahabbah. Perasaan itu! Perasaan itu yang membawa saya ke sini. Ya Allah.. Sampai bila aku harus terus begini? Saya muslimah, mujahidah yang pernah berbai'ah denganMU Ya Allah.. Saya tidak boleh kalah! Saya harus gagah mendepani mehnah! Ya Allah.. Jangan biarkan aku terus rebah! :(

Saya tahu puncanya! Selain perlu memperbaiki hubungan dengan Allah, saya kehilangan sesuatu yang telah mendidik saya. Sunnah Rasulullah yang saya sendiri telah diamanahkan untuk meneruskannya. USRAH! Ya, usrah! Saya boleh menjadi kuat dan menyalurkan kekuatan kepada rakan-rakan dengan berwasilahkan usrah kerana saya yakin, orang-orang yang inginkan kebaikanlah yang akan terus mencari dan istiqamah bersamanya.

Perasaan ini juga telah membawa saya untuk mencarinya semula. Walaupun tiada adik-beradik usrah di sini, bukan bererti saya boleh terus melayukan diri saya. Alhamdulillah, hasil perbincangan dengan seorang sahabat seperjuangan, Elah, kami sepakat mengaturkan pertemuan. Sahabat-sahabat Dungun dihubungi untuk sama-sama berkongsi sesuatu sewaktu pertemuan bermakna itu nanti.

" Salam muslimah solehah yang dikasihi sekalian, insyaAllah pertemuan kita pada petang ini bertempat di perkarangan kedai Kak Sah yang dekat dengan Imtiaz B tu. Jumpa di sana ya! =) "

Syukur Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan ini. Sahabat-sahabat ini masih setia saling mencintai kerana Allah. Walaupun sekarang kampus masing-masing sedang bercuti, namun masih ada sedikit masa yang sudi diluangkan bersama. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.. =)



# Berkasih sayang kerana Allah #

Setelah menikmati santapan ringan pada petang itu, kami segera bergegas ke Pantai Teluk Gadung untuk pengisian seterusnya. Perut sudah diisi, maka sekarang waktunya untuk rohani kami pula diisi. =) Sempat lagi kami bergambar-gambar sebelum slot usrah bermula. :) <><><><>
Geng Sahabat Dungun ^__^
Setelah mencari port yang paling sesuai, kami memulakan Usrah yang sangat menjadi kerinduan hati ini. Antara pengisian pada petang ini ialah:
                       
                        # Ukhuwwah fillah
                        # Erti sebuah ujian
                        # Hebatnya kuasa doa
                        # Taujihat buat wanita solehah

Tidak kurang juga ada sahabat yang meluahkan rasa dan gembira tentang ukhuwwah kami yang telah lama terjalin ini. Terima kasih sahabat. InsyaAllah, semoga cinta kita akan menjadi penguat semangat untuk bermujahadah memburu Mardhatillah. =)

Bulatan gembira~


'Sharing is Caring'
Agama itu nasihat.. =)
Enam sahabat ini terdiri daripada Aisah, Fatin Liyana, Elah, Nadiah a.k.a Mama Yah, Nuyuu dan saya. Masing-masing berkongsi kisah di kampus, isu politik negara, isu nasional membabitkan masa depan ummah dan anak bangsa. Sesungguhnya usrah gabungan banyak kampus ini memang best! :)
Seorang mahasiswi Upsi, dua dari meraka menuntut di IPG, dan dua lagi masing-masing di UiTm. =)


Gaya seorang bakal guru.. =)

Ukhuwwah islamiyah memang tidak mengenal erti memilih bulu bahkan menyubur dan menyebarkan kasih sayang dan persaudaraan. Dakwah dan islah perlu bermula dari diri kita sendiri. Seandainya tugas ini hanya ditaklifkan kepada sesuatu puak sahaja, maka pasti ramai yang memilih untuk tidak mahu bersama mendokong tugasan murni, amanah dari Ilahi ini. Kerana hakikatnya jalan perjuangan itu panjang dan penuh liku.
Pertemuan penuh makna yang diizinkan oleh Allah pada 8 Rejab itu moga-moga menjadi wasilah untuk kami lebih konsisten untuk meletakkan islam di tempat yang paling tinggi. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana telah mengubati kerinduan ini. Rindu dan akan terus merindui usrah. Kerana kita mengharapkan akan terus berusrah di syurga Allah kelak. Allahumma amiin.. =)

Pesanan murabbi saya, jika merasakan jiwa kosong tiada pengisian, bersegeralah mengisinya dengan kebaikan agar ruang kebatilan tidak sempat untuk mengambil tempat. Benarlah, jika kita tidak sibukkan diri dengan tarbiyah, pasti jiwa mudah untuk selesa dengan perkara syubhah. Kekuatan itu perlu dicari, bukan dinanti! =)


" Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah saudara-saudaramu yang bertelagah, berTAQWAlah kamu kepada Allah, mudah-mudahkan kamu mendapat rahmat.." (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

 Ilmu itu bukan hanya di dalam bilik kuliyah. Setiap hari yang kita lalui adalah menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mengenal manusia jua semua makhluk Allah di universiti kehidupan.
Sekian sahaja untuk kali ini. Wallahua'lam.


<><><><>
Keindahan alam ciptaan Allah yang perlu direnungi dengan mata Hati.. =)

Catatan hati,
ilmi alfauzanie
teratak kasih ayahbonda,
Dungun, Terengganu.
1Jun, 3.05 am

Wednesday, May 16, 2012

Ini jihadku!

Bismillah Wal Hamdulillah. Syukur kepada Allah, salam dan selawat buat Rasulullah, murabbi ummat yang terhebat, salam perjuangan buat penjulang kalimah tauhid di mana sahaja kalian berada. Semoga dalam perlindunganNYA sentiasa. (",)

Banyak peristiwa dunia yang terakam indah di negara bertuah ini. Indah setelah dinilai ianya sebagai ibtila' yang wajib dilalui oleh pencinta kebenaran. Tarbiyah dari Allah untuk pihak yang benar dalam menghadapi lawan yang sentiasa meletakkan islam di belakang. Walaupun perit untuk ditelan, tetapi sedikit sebanyak ia menjadi ubat untuk memujuk hati, bahawa sesungguhnya seluruh dunia menyaksikan kezaliman itu! Ya, kezaliman!

Tahniah Polis Raja Di Malaysia!
Kalian yang terlibat dengan kezaliman, silalah jawab di hadapan Allah nanti!
Pengalaman manis yang pernah dilalui, menjadi kenangan yang bakal diwarisi oleh generasiku selepas ini. Mujahid dan mujahidah yang hebat akan lahir dari seorang ibu yang hebat! Dan ayah yang hebat juga! :) Hebat bukan bererti menjadi kegilaan sang pemuda, ataupun memiliki segalanya yang membawa dirinya ke lembah hina. Akan tetapi, kehebatan yang sebenar adalah kesungguhan untk membuktikan kecintaannya kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan. Jiwa yang sentiasa ingin mempersembahkan yang terbaik kepada Allah, tanpa mengharapkan pujian atau perhatian makhluk Tuhan sekalian Alam. Semoga kitalah hambaNYA yang terpilih di sisi Allah..

Mansuhkan ISA, menjadi demostrasi pertama yang disertai. Bersama teman seperjuangan, seiring berjalan menuju ke destinasi yang disasarkan. Kenangan yang menjadi titik-tolak agar saya terus kuat untuk meneruskan perjuangan. Situasi yang menyedarkan saya, bahawa kita semua rakyat Malaysia saling memerlukan. Permulaan untuk saya menyedari tentang hakikat perjuangan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. Saya tidak akan serik walaupun ditahan selama seminggu di wad Hospital Kuala Kubu Bharu setelah pulang dari medan juang itu. Sekali-sekala rasa sakit.. =) Rasulullah dulu berjuang sampai patah gigi, luka sana sini, takkan yang sikit macam ni dah nak berhenti.. Kan, kan?

Bersih 2.0. =) Allah2.. Rasa masih belum mampu percaya bahawa saya turut bersama-sama mereka sewaktu itu. Himpunan aman itu berlangsung pada hari Sabtu, manakala pada hari Isnin pula saya akan menghadapi imtihan Hifzul Quran Syafawi akhir, 30juzu'. Alhamdulillah, setelah menimbang tara tentang persiapan dan segala kemungkinan yang akan mendatang, tawakkal kepada Allah saya mulakan langkah. Alhamdulillah, saya selamat pergi dan selamat kembali. Penangan gas pemedih mata dan air 'berkat' water canon masih bersisa dan berbekas di hati! Allah menjadi saksi bahawa rakyat sudah mula bangkit. Bangkitkan jihad! Alhamdulillah, dengan pertolongan dari Allah, saya dapat menjawab semua soalan yang diajukan oleh mumtahin dengan baik. Syukur Ya Rabb. Benarlah firmanMU dalam surah Muhammad ayat 7. "Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan mendatangkan pertolonganNYA kepadamu dan mengukuhkan kedudukanmu."
Yakinlah wahai pejuang!
Sape tahu yang mane satu saya? :)
Bersih 3.0 menjanjikan saya tidak berkesempatan untuk menghadirkan jasad saya di Dataran Merdeka. Akan tetapi, seperti bait indah yang telah dituturkan oleh Syeikh Mustafa Masyur, saya percaya bahawa seorang pejuang itu akan turut membawa hati teman-teman seperjuangannya. Saya berada bersama-sama teman saya yang berpeluang 'mengubah kemungkaran dengan hati'. InsyaAllah, saya berada di dalam hati mereka. =)

Saya bersama kalian. Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk menghadapi gelora fitnah dan kejahatan yang telah direncanakan sempena PRU ke-13 nanti. Siiru 'ala barakatillah.. =)



Catatan Hamba Allah,
Yang sedang merindui jalan juang itu..
16Mei, teratak kasih ayahbonda.

Sunday, May 13, 2012

Cara Rasulullah menjalinkan persahabatan

Bismillah Walhamdulillah..
Pembaca yang budiman,

Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam. Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.

Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]

Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: "Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu."
Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]

1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]

2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]

3) Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar bertakwa.
Sumber: iluvislam.com

Bersama teman berbangsa Arab yang baik, berta'aruf juga di tempat yang baik..
Huluran salam, mengaji bersama, berkongsi air dan tamar..
Sebak terkenangkan doa & harapan yang diluahkan oleh beliau..
InsyaAllah, andai kita tidak bertemu semula di dunia, di syurga nanti kita bakal bersua semula..
Tasbih sebagai hadiah ingatan menjadi pengganti diri..
Ya Allah..kirimkan kerinduanku buat insan mulia ini..

Saturday, May 12, 2012

Bila Ianya Hadir..

Bismillah, Walhamdulillah..
Syukur kepada Allah,Tuhan sekalian alam atas daya dan upaya yang dikurniakan. Salam dan selawat buat Junjungan yang sentiasa dirindui, Rasulullah pembawa rahmat buat sekalian alam. Salam perjuangan buat seluruh pejuang-pejuang Islam yang tidak kenal erti penat lelah dan tidak pernah rebah walaupun lemah. Terima kasih kepada teman-teman yang masih setia menziarahi blog ini. =)

Bila ianya hadir.
Kehadirannya tidak diundang bahkan kadang-kadang tidak pernah mendapat seruan.
Hadir sebagai sebuah kesaksian bahawa diri ini seorang manusia yang normal.
Normal kerana masih berfungsi fitrah yang sepatutnya.
Alhamdulillah...

Fitrah seorang wanita, bahkan juga kepada seorang lelaki. Merasakan sunyi tanpa pasangan di sisi. Akan tetapi, selagi masanya belum tiba, perasaan ini memerlukan semangat yang kental untuk bermujahadah menjaga kehormatan diri. Bukan kerana malu dan takut kepada manusia, tetapi malu kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Yakinlah pahlawanku.. Percayalah serikandiku..
Bila tiba masa yang tepat dalam aturan dan perancangan Allah, kalian akan mengetahui siapakah gerangan pasangan yang telah lama tercatat namanya di Luh Mahfuz. Menantilah dengan penuh kesabaran. Pertemuan itu pasti akan berlangsung diiringi dengan air mata kegembiraan penuh kesyukuran. InsyaAllah.. =)
Saat ini pasti tiba..

Ciptalah impian kasih yang penuh dengan kesenian.. Penuh keberkatan.. Tanpa dicemari dengan dosa, noda dan debu kotoran bahkan sampah di jalanan. Semoga rumahtangga yang terbina menjadi sebuah medan pemangkin untuk setia mara dan bersemangat untuk terus berjuang..

Seandainya teman-teman kalian telah berpunya, jangan merasakan bahawa diri kita tidak ada yang hendak. Tetapi, optimislah dengan perancangan Allah. Allah masih memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki hubungan cinta kita dengan DIA.. Allah pencipta kita, maka memang layak Allah yang paling mengenali segala perkara yang terbaik untuk kita.
Andai tidak di dunia, mudah-mudahan di syurga.. :)


: Cacatan ini istimewa buat pejuang dan pencinta Islam yang masih samar-samar 'mencari'.. Carilah, insyaAllah kalian akan bertemu dengan apa yang dikehendaki.. Usah bertangguh-tangguh dalam melaksanakan perkara yang baik. Nusrah Allah pasti akan bersama seandainya kita meletakkan redha Allah sebagai matlamatnya. Semoga akan terus utuh memegang prinsip. Prinsip untuk menjaga kehormatan diri dan hati.. Seandainya kalian bercita-cita mahu menjadi seorang Ulama' Haraki, jangan biarkan diri kalian berada dalam tempoh pertunangan yang lama dan terisi dengan perkara noda walau secebis cuma. Tetapi, andai Ulama' Hadhari matlamatnya, silakanlah..

Ya Allah.. peliharalah cintaku.. Peliharalah hatiku.. Peliharalah jua cinta hatiku..
Insan dhaif,
ilmi alfauzanie
teratak bahagia, Dungun..
12 May 2012, 12.10am

Friday, April 6, 2012

Santai pagi~

Assalamu'alaikum.
Salam petang Jumaat. Hari yang merupakan ibu kepada segala hari.
Pengalaman bermakna bermula dari pagi sehingga ke saat ini..
Allahu Akbar! Aturan Allah memang yang terbaik! Selamanya yang terbaik!
Senyum lebar apabila mengimbau kenangan yang baru berlaku pada hari ini..
Allah.. manisnya rencanaMU..
Terima kasih Allah.. Alhamdulillah..

"Ilmi!!!! Kak Catriona tak dapat hadir! Ibunya kemalangan dan kritikal sekarang!, "
"Ya Allah..!! ujian untuk Kak Cat. Pastu nanti sape nak ganti beliau? Akak jangan cakap lambat2 tau, kalut ilmi kat depan tu nanti.. hehe. "

Sesi tazkirah dhuha yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Azman Shapawi telah berakhir.
Tiba sesi makan pagi. Dan slot yang sepatutnya bersama Kak Cat masih belum terisi penggantinya. Siapakah? Bilakah mahu tiba?
Tengah kalut-kalut tengok orang sediakan teks ucapan, di saat aku pakat tibai je nak cakap, haha. Tiba-tiba saya dibisikkan sesuatu.
"Ilmi, nanti Ustaz Nik Abduh tau ganti Kak Cat.."

Allah! Saya bakal bertemu dengan seorang ulama'.
Perancangan Allah mengatasi segala rencana manusia.
Alhamdulillah.. =)

Biarlah foto yang berbicara.. ^__~

Terima kasih kepada Encik Noraza dari Muslim Bikers selaku M.C ke-2 :)
Setia menanti sebelum ustaz berucap.
Bicara seorang ulama' =)

penganjur program..
Mencipta kenangan bersama.. =)
Thanks dear..

Saturday, March 24, 2012

Pemuda mesti ada 'umph' =)

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .

2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .

3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .

5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .

7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .

8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .

9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .

10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .

11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....

12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?

Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .


p/s: Saya rindu pada teman-teman seperjuangan..
       Gigih menguatkan apabila ada yang lemah..
       Bahkan apabila lemah, tetap zahirkan seolah-olah kuat kerana tidak mahu yang lain turut lemah..
       Teman.. seandainya kalian rasa mahu lari dari perjuangan ini, daku ucapkan silakan..
       Silakan seandainya kalian sudah tidak mahu menjadi mukmin sejati..

       Yang sentiasa setia pada janji untuk mencapai Redha Ilahi..
        InsyaAllah, selagi nyawa masih dikandung badan, kita akan terus sama-sama berjuang..

       
Salam sayang fillah.. Teruskan perjuangan.. Kenangan ditarbiyah bersama-sama kalian di DQ sentiasa dalam ingatan.. =)
Mereka kesayanganku! insyaAllah, moga selama-lamanya..

Friday, March 23, 2012

Bahagia dalam jagaanmu..

Bismillah, walhamdulillah..
Assalamu'alaikum warahmatullah..

Saat ingin diluahkan coretan hati ini, bibir mengukirkan senyuman mesra.

Mesra kerana bahagia.

Bahagia membuahkan ceria.

Ceria menyuburkan gembira.

Gembira menjadi puterimu, Abah.. =)

Terima kasih abah.. Diri ini sangat bahagia menjadi puterimu.
Didikan abah ku lihat berbeza dengan ayah teman-temanku yang lain. Mungkin ada juga persamaan, mungkin juga langsung tiada.

Waktu kecil-kecil dulu, kami adik-beradik, apabila mengingkari syariat seperti meninggalkan solat secara sengaja dan menganggu ketenteraman individu lain, kami terdidik dengan denda. 'Iqob yang menatijahkan satu perasaan indah selepas dinilai dengan pandangan mata hati. Apa yang perlu abah huraikan, beliau akan huraikan dan perjelaskan satu-persatu. Akan tetapi, apa yang tidak perlukan penjelasan dan hanya perlukan pengamatan, beliau akan melatih anak-anak berfikir sendiri.

Anda pernah ditinggalkan keseorangan di luar rumah pada waktu malam, dalam keadaan rumah tidak berpagar dan suasana yang gelap gelita ditemani nyamuk-nyamuk yang setia? Saya pernah! Adik-beradik lain tidak dibenarkan membantu. Kadang-kadang, sehingga tertidur di anjung rumah. Sangat indah kenangan itu.

Abah ingin mendidik kami erti pergantungan kepada Allah. Muraqabah dan berasa sentiasa diawasi oleh Allah. Dosa atau pahala yang akan dipilih sekiranya kita merasakan Allah sedang mengawasi kita? =) Terima kasih abah..

"Abah, comel tak Sobirin pakai seluar dengan baju labuh ni gi pasar minggu?"
"Comel dah.. tapi kalau pakai jubah macam biasa pun lagi comel.."
Kan comel kalau istiqamah macam ni.. =)

Mungkin pada pandangan orang lain, perkara seremeh itu pun mahu dirujuk kepada ayah.
YA! Saya perlu rujuk kepada abah saya. Setiap pemakaian saya, walaupun sudah besar panjang, abah tetap sentiasa menjadi tempat rujukan saya selain bonda. Abah sangat menitikberatkan soal aurat, kesopanan dan cara pemakaian yang terbaik terhadap anak-anaknya terutamanya saya. =) Sebab itu, andai tiada keperluan, abah tidak membenarkan anak-anak perempuannya berseluar apabila keluar dari rumah. Tarbiyah yang telah dipupuk sejak kecil, semoga akan terus subur dalam penghayatan dan amalan. :)

Saya pernah melakukan satu kesilapan dan saya sangat serik untuk melakukannya sekali lagi. Teguran abah membuatkan sayang saya kepada abah semakin bertambah. Allah.. Beruntungnya saya menjadi puteri abah..

                                                    *************************
Ketika itu, saya keluar bersama teman-teman. Pertemuan selepas Asar berakhir sehingga hampir terbenam matahari.

"Ya Allah.. dah dekat Maghrib ni. Mesti ma abah saya risau ni, saya tak balik lagi"

Tetapi, waktu itu, saya seolah-olah mengambil enteng tentang perkara ni walaupun saya sudah sedia mafhum, ibu bapa saya sangat bertegas dalam soal waktu kepulangan anak-anak ke rumah. Waktu untuk azan Maghrib berkumandang masih berbaki hampir 20 minit. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk menunggu azan masuk dan bersolat di rumah sahabat saya. Usai solat Maghrib barulah saya pulang ke rumah yang memakan tempoh masa perjalanan hampir 15 minit juga. Sepanjang perjalanan, saya bimbang jika Allah tidak meredhai saya kerana saya telah mengecewakan ibu bapa saya. Perasaan bersalah mula timbul. Ya Allah, selamatkanlah perjalananku.

Sampai sahaja di rumah, dengan muka dan perasaan bersalah, saya lihat abah sedang berada di ruang tamu. Saya kira memang abah sedang menunggu kepulangan saya.

"Abah.. Sobirin minta maaf balik lewat.."

Abah dengan penuh hikmah menasihati saya. Saya tabahkan hati untuk tidak menangis di hadapan abah. Menangis bukan kerana tertekan. Tetapi terharu dengan kecaknaan dan kasih sayang abah terhadap saya.

" Sobirin anak perempuan. Yang sangat mudah terdedah kepada fitnah. Abah bimbang abah akan ditanya oleh Allah nanti. Abah selalu menasihati anak didik abah sebelum ini untuk menjaga diri. Tetapi abah khuatir anak abah pula teruji. Kita bawak imej islam. Lain kali, pukul 6.30 petang, dah kena ada di rumah. Jaga air muka abah. Dah, Sobirin gi masuk."

Bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya menjadi anak beliau. Di saat sahabat -sahabat saya, asyik bercerita yang ibu bapa mereka tidak akan bertanya ke mana mereka pergi selagi jam masih belum menunjukkan pukul 12 tengah malam. Bagi saya, saya tidak pernah merasakan saya dikongkong. Bahkan saya bersyukur kerana terdidik dan terkawal dalam suasana penuh ketegasan dan kasih sayang.

"Abah.. jom lah kita buat pagar rumah. Nanti  tak lah kambing makan pokok bunga Ma.."

Respon abah menyebabkan saya tersenyum bangga. Abah berjiwa pejuang!

"Kalau kita buat pagar, nanti ruang untuk ceramah akan terbatas. Takpe lah gini pun, kita bantu Islam, Allah akan bantu kita dan mengukuhkan kedudukan kita.. "



Saya tidak malu apabila orang mengatakan saya anak manja, anak mak ayah. Bahkan saya gembira kerana saya mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Manja bukan bererti saya berkepit 24 jam dengan mak dan tidak mampu berdikari. Anak manja bagi saya, anak yang sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam apa jua tindakan selepas mengutamakan pandangan Allah. Bahkan orang tua saya sendiri memotivasikan saya supaya jadi begitu. Berdikari, aktif dan elakkan dari menyusahkan orang lain. Terima kasih Ma & Abah..
Percaya atau tidak, apabila anda rapat dengan ibu dan bapa anda, anda telah mencipta satu kekuatan yang luar biasa. Ini kerana setiap saat, anda berusaha menggembirakan hati mereka dan tanpa kita sedari, Allah telah menilai tindakan kita sebagai satu kebajikan.


Terima kasih abah, kerana sangat memahami anakmu ini. Setiap kerenahku dilentur dengan penuh bijaksana. Abah, sepertimana Sobirin berbangga menjadi anak abah, insyaAllah Sobirin akan banggakan Abah suatu hari nanti, insyaAllah. Semoga abah juga gembira memilikiku sebagai anakmu. Terima kasih yang teramat atas didikan, kasih sayang dan hikmah serta keizinan untukku memperbaiki khidmatku untuk Islam. Sokongan dan dokongan dari abah hanya Allah yang selayaknya membalas. Abah sentiasa tahu apa yang terbaik untukku. Oleh kerana itu, kriteria menantu pilihannya sebagai calon untukku juga telah disimpan kemas dalam memorinya. Terima kasih abah! Kata abah, aku anak Abah.. =) Gembiranya...  :']

Semoga rahmat, barakah dan perlindungan Allah sentiasa buatmu Abahku..


Encik che wan amran bin che wan abdullah bin wan tholib( engku tholib tanjung) bin wan ismail bin wan ishak(engku sohok) bin tun abdullah bin tun da (engku isop)bin tun abdul majid(bndhr pahang V t.m 1722 - 1760) bin tun abas(bndhr pahang III t.m 1719 - 1760) bin tun muhammad (tun abdul jalil marhum kuala pahang) bin tun habib abdul majid (bndhr johor,mangkat t.m 1697)

Sayang abah! =)

 


Friday, March 16, 2012

Kecil vs Besar

Bismillah Walhamdulillah.. Assalamu'alaikum.. Alhamdulillah dan Syukur kepada Allah kerana masih mengurniakan kita nikmat Iman & Islam, jua nikmat kesihatan dan masa lapang. Mudah-mudahan kita menjadi hambaNYA yang sentiasa bersyukur.. Amiin.. ^___^  Salam & Selawat buat Rasulullah yang sentiasa dirindui. Salam hormat untuk semua pengunjung blog yang terus setia menjejakkan ziarah di sini. Jazakumullahu khairan jaza'.. =)
Syukur hanya kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Yang mentadbir seluruh kehidupan makhlukNYA.
Jika dihitung, terlalu banyak kebaikan yang Allah kurniakan kepada kita. Musibah dan ujian yang menimpa pula segalanya atas izin dariNYA. Tiada satu makhluk pun yang mampu memudharatkan kita melainkan dengan izin Allah.
Kecil vs Besar
Dalam mengharungi kehidupan seharian, kita pasti berhadapan dengan pelbagai ragam dari manusia sekeliling kita. Ada ke manusia yang mampu hidup sorang2 ye? :) Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu akur bahawa kita terpaksa juga berhadapan dengan semua orang dari pelbagai kefahaman, latar belakang keluarga, pendidikan dan juga tahap penghayatan terhadap agama.
Saya ingin kongsikan sedikit pengalaman saya sebagai penunggang motosikal tegar (adakah istilah ini wujud ye?). Sebagai muslimah, saya tidak merasakan ia adalah satu halangan atau kekangan untuk sama-sama bergerak dan bertebaran di bumi Allah selagi mana syariat masih dipertahankan. Bermotosikal, tetapi masih boleh menjaga adab & akhlak di jalan raya.
Motosikal itu KECIL jika dibandingkan dengan kereta Camry yang lebih BESAR.
Kecil atau besar saiz kenderaan yang kita tumpangi, bukanlah bererti kita boleh berbuat sesuka hati dan menolak segala adab dan nilai murni.
Adalah lebih baik kita sentiasa merendahkan hati dan saling menjaga akhlak kerana kita sama-sama berkongsi kebaikan untuk memperoleh kebaikan juga.
 Tolonglah berakhlak..
"Allah.. kenapa pak cik ni himpit motosikal kita ni. Sampai dah bergesel kaki dengan body Hiluxnya."
"Ya Allah.. Encik ni masuk lorong sesedap rasa dia je ye.."
"Pak Cik..... Tolonglah bagi signal dulu boh! Saya tak jumpa dengan orang tua saya lagi ni.."
"Ya Allah.. Abang ni pakat main potong sebelah kiri.. Dah tu kita yang bawak moto ni nak masuk celah lorong mane?.."
Itulah antara situasi yang membuatkan saya sentiasa termuhasabah. Termuhasabah dengan adab dan akhlak pengguna jalan raya yang sama anutan agamanya dengan saya. Lagi menyedihkan apabila mereka berpakaian seperti saya & juga ikhwan saya yang lain. Islam hanya pada pakaian sahajakah?
Saya pernah memandu kenderaan-kenderaan yang lebih besar daripada sebuah motosikal. Kereta Viva, Vios, Kancil, Honda yang entah apa namanya. Saya juga pernah menjadi penumpang kepada kenderaan yang lebih mewah dan besar kosnya seperti Mercedes-Benz, Alphard, Estima.. Akan tetapi syukur kerana mereka masih istiqamah menjaga adab dan berakhlak sepanjang perjalanan. Terima kasih kerana masih tidak mengkhianati kepercayaan saya.
Kita bersaudara
Walau siapa pun kita, marhaen biasa mahupun keturunan diRaja, kita tetap hamba Allah Yang Maha Esa. Kita mungkin lebih berkemampuan untuk memiliki kenderaan yang baik, akan tetapi tanpa sedetik pun kita melupakan insan yang masih belum berkemampuan. Rendahkan hati untuk sama--sama berkongsi. Kecil atau besar kenderaan yang telah diizinkan oleh Allah untuk kita naiki, bersyukur dan berakhlaklah kerana suatu hati nanti mungkin kita akan teruji. Teruji dengan musibah yang pernah kita lakukan terhadap orang lain yang tanpa kita menyedarinya.
Pesanan saya, berhati-hatilah di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang. Fikirkanlah tentang masa depan Islam dan perjuangan andai kita masih mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keselamatan dan ketenangan individu lain.
"Islam itu indah. Usah kita kotorinya dengan akhlak mazmumah!"
Selamat menjaga diri dengan menghalusi budi pekerti.. Semoga selamatlah dunia akhirat. =)
Sayangi diri demi Islam dan Perjuangan.
(Teman seperjuangan) =)

Thursday, February 23, 2012

Kenangan Terindah~

Assalamu'alaikum.. Alhamdulillah dan Syukur kepada Allah kerana masih memberi nikmat kehidupan kepada hamba hingga ke saat ini. Salam & Selawat buat Rasulullah yang sentiasa dirindui. Salam hormat untuk semua pengunjung blog yang terus setia menjejakkan ziarah di sini. Seinfiniti kerinduan untuk mencoretkan perkongsian di laman peribadi yang kian dipinggirkan dek kerana hamba kalut menguruskan urusan dunia dengan sebaiknya. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua.. =)
Dari November lepas, blog ini tidak diupdate. Jadi, teringin rasanya ingin berkongsi secebis pengalaman sepanjang saya bercuti panjang ini.Cuti panjang yang sangat membosankan andai tidak dimanfaatkan sebaiknya. Lamaran-lamaran kerja, menjadi pendidik dan dijanjikan dengan gaji yang agak lumayan bagi saya yang masih bujang ditolak dengan cara yang baik. Matlamat saya sekarang untuk berbakti di watan sendiri setelah bertahun-tahun bermastautin di negeri orang.Alhamdulillah,keluarga memberikan sokongan dan dokongan untuk saya bergiat di dalam gerakan islam ini. Peluang dan ruang yang luas terbentang yang saya miliki sekarang mungkin tidak dapat lagi saya menikmatinya secara total setelah berumahtangga dan menyambung pengajian kelak. Selepas ini, lebih banyak komitmen yang perlu saya hadapi seandainya usia saya dipanjangkan oleh Allah.. ^_^ Semoga panjanglah usia dan banyak pula berbakti kepada agamaNYA..
Terima kasih Allah, kerana menganugerahkan saya teman sepermainan dari zaman kanak-kanak yang juga merupakan teman seperjuangan saya sekarang. Betapa seronoknya, bergerak saban hari ke merata tempat berdua, dengan menaiki sebuah motosikal. Teman yang gemar tersenyum apabila kami sama-sama meredah hujan lebat mahupun cuaca panas terik. Beliau sentiasa positif menerima apa jua situasi mahupun kondisi..Benar, dialah sahabat baikku.. Mudah-mudahan akan terus setia menjadi teman dunia akhiratku..Terima kasih Nik.. =)

Kita serasi.. =)
 Kami berdua gembira bersama sahabat-sahabat Dungun yang banyak membantu. Ceria bersama sewaktu bekerja. Riang menghibur sewaktu ujian menimpa. Kami semua akrab, rapat seperti adik-beradik.. Mudah-mudahan ada kesempatan untuk kita saling mengenali keluarga masing-masing selepas ini.. =)

We Unite For ISLAM!

Kami Epal Hijau :)
Sekian sahaja cerita hati saya buat masa ini. Gerak kerja perlu diteruskan walaupun sudah sampai ke tempat kediaman. =) Islam tidak berada di masjid, di surau atau di kelas pengajian sahaja.. Akan tetapi, ke mana sahaja kita melangkah, kita membawa islam bersama kita. Oleh itu, perhalusilah akhlak dan peribadi agar Islam tidak terfitnah kerana tingkah laku kita.
" Islam itu tinggi. Tiada yang lebih tinggi darinya"
Semoga Allah memilih kita untuk terus thabat dan istiqamah di jalanNYA..
Salam pencerahan fikrah bagi pejuang-pejuang Islam yang sedang berhadapan dengan virus-virus merbahaya. Kita boleh ubah pemikiran kita, namun jangan sesekali meninggalkan Ilmu dan Tarbiyah di tepi dan memperjuangkan semangat semata-mata.. Fikir-fikirkan dan selamat berubah ke arah yang lebih baik! Assalamu'alaikum.. ^_~