Friday, March 23, 2012

Bahagia dalam jagaanmu..

Bismillah, walhamdulillah..
Assalamu'alaikum warahmatullah..

Saat ingin diluahkan coretan hati ini, bibir mengukirkan senyuman mesra.

Mesra kerana bahagia.

Bahagia membuahkan ceria.

Ceria menyuburkan gembira.

Gembira menjadi puterimu, Abah.. =)

Terima kasih abah.. Diri ini sangat bahagia menjadi puterimu.
Didikan abah ku lihat berbeza dengan ayah teman-temanku yang lain. Mungkin ada juga persamaan, mungkin juga langsung tiada.

Waktu kecil-kecil dulu, kami adik-beradik, apabila mengingkari syariat seperti meninggalkan solat secara sengaja dan menganggu ketenteraman individu lain, kami terdidik dengan denda. 'Iqob yang menatijahkan satu perasaan indah selepas dinilai dengan pandangan mata hati. Apa yang perlu abah huraikan, beliau akan huraikan dan perjelaskan satu-persatu. Akan tetapi, apa yang tidak perlukan penjelasan dan hanya perlukan pengamatan, beliau akan melatih anak-anak berfikir sendiri.

Anda pernah ditinggalkan keseorangan di luar rumah pada waktu malam, dalam keadaan rumah tidak berpagar dan suasana yang gelap gelita ditemani nyamuk-nyamuk yang setia? Saya pernah! Adik-beradik lain tidak dibenarkan membantu. Kadang-kadang, sehingga tertidur di anjung rumah. Sangat indah kenangan itu.

Abah ingin mendidik kami erti pergantungan kepada Allah. Muraqabah dan berasa sentiasa diawasi oleh Allah. Dosa atau pahala yang akan dipilih sekiranya kita merasakan Allah sedang mengawasi kita? =) Terima kasih abah..

"Abah, comel tak Sobirin pakai seluar dengan baju labuh ni gi pasar minggu?"
"Comel dah.. tapi kalau pakai jubah macam biasa pun lagi comel.."
Kan comel kalau istiqamah macam ni.. =)

Mungkin pada pandangan orang lain, perkara seremeh itu pun mahu dirujuk kepada ayah.
YA! Saya perlu rujuk kepada abah saya. Setiap pemakaian saya, walaupun sudah besar panjang, abah tetap sentiasa menjadi tempat rujukan saya selain bonda. Abah sangat menitikberatkan soal aurat, kesopanan dan cara pemakaian yang terbaik terhadap anak-anaknya terutamanya saya. =) Sebab itu, andai tiada keperluan, abah tidak membenarkan anak-anak perempuannya berseluar apabila keluar dari rumah. Tarbiyah yang telah dipupuk sejak kecil, semoga akan terus subur dalam penghayatan dan amalan. :)

Saya pernah melakukan satu kesilapan dan saya sangat serik untuk melakukannya sekali lagi. Teguran abah membuatkan sayang saya kepada abah semakin bertambah. Allah.. Beruntungnya saya menjadi puteri abah..

                                                    *************************
Ketika itu, saya keluar bersama teman-teman. Pertemuan selepas Asar berakhir sehingga hampir terbenam matahari.

"Ya Allah.. dah dekat Maghrib ni. Mesti ma abah saya risau ni, saya tak balik lagi"

Tetapi, waktu itu, saya seolah-olah mengambil enteng tentang perkara ni walaupun saya sudah sedia mafhum, ibu bapa saya sangat bertegas dalam soal waktu kepulangan anak-anak ke rumah. Waktu untuk azan Maghrib berkumandang masih berbaki hampir 20 minit. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk menunggu azan masuk dan bersolat di rumah sahabat saya. Usai solat Maghrib barulah saya pulang ke rumah yang memakan tempoh masa perjalanan hampir 15 minit juga. Sepanjang perjalanan, saya bimbang jika Allah tidak meredhai saya kerana saya telah mengecewakan ibu bapa saya. Perasaan bersalah mula timbul. Ya Allah, selamatkanlah perjalananku.

Sampai sahaja di rumah, dengan muka dan perasaan bersalah, saya lihat abah sedang berada di ruang tamu. Saya kira memang abah sedang menunggu kepulangan saya.

"Abah.. Sobirin minta maaf balik lewat.."

Abah dengan penuh hikmah menasihati saya. Saya tabahkan hati untuk tidak menangis di hadapan abah. Menangis bukan kerana tertekan. Tetapi terharu dengan kecaknaan dan kasih sayang abah terhadap saya.

" Sobirin anak perempuan. Yang sangat mudah terdedah kepada fitnah. Abah bimbang abah akan ditanya oleh Allah nanti. Abah selalu menasihati anak didik abah sebelum ini untuk menjaga diri. Tetapi abah khuatir anak abah pula teruji. Kita bawak imej islam. Lain kali, pukul 6.30 petang, dah kena ada di rumah. Jaga air muka abah. Dah, Sobirin gi masuk."

Bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya menjadi anak beliau. Di saat sahabat -sahabat saya, asyik bercerita yang ibu bapa mereka tidak akan bertanya ke mana mereka pergi selagi jam masih belum menunjukkan pukul 12 tengah malam. Bagi saya, saya tidak pernah merasakan saya dikongkong. Bahkan saya bersyukur kerana terdidik dan terkawal dalam suasana penuh ketegasan dan kasih sayang.

"Abah.. jom lah kita buat pagar rumah. Nanti  tak lah kambing makan pokok bunga Ma.."

Respon abah menyebabkan saya tersenyum bangga. Abah berjiwa pejuang!

"Kalau kita buat pagar, nanti ruang untuk ceramah akan terbatas. Takpe lah gini pun, kita bantu Islam, Allah akan bantu kita dan mengukuhkan kedudukan kita.. "



Saya tidak malu apabila orang mengatakan saya anak manja, anak mak ayah. Bahkan saya gembira kerana saya mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Manja bukan bererti saya berkepit 24 jam dengan mak dan tidak mampu berdikari. Anak manja bagi saya, anak yang sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam apa jua tindakan selepas mengutamakan pandangan Allah. Bahkan orang tua saya sendiri memotivasikan saya supaya jadi begitu. Berdikari, aktif dan elakkan dari menyusahkan orang lain. Terima kasih Ma & Abah..
Percaya atau tidak, apabila anda rapat dengan ibu dan bapa anda, anda telah mencipta satu kekuatan yang luar biasa. Ini kerana setiap saat, anda berusaha menggembirakan hati mereka dan tanpa kita sedari, Allah telah menilai tindakan kita sebagai satu kebajikan.


Terima kasih abah, kerana sangat memahami anakmu ini. Setiap kerenahku dilentur dengan penuh bijaksana. Abah, sepertimana Sobirin berbangga menjadi anak abah, insyaAllah Sobirin akan banggakan Abah suatu hari nanti, insyaAllah. Semoga abah juga gembira memilikiku sebagai anakmu. Terima kasih yang teramat atas didikan, kasih sayang dan hikmah serta keizinan untukku memperbaiki khidmatku untuk Islam. Sokongan dan dokongan dari abah hanya Allah yang selayaknya membalas. Abah sentiasa tahu apa yang terbaik untukku. Oleh kerana itu, kriteria menantu pilihannya sebagai calon untukku juga telah disimpan kemas dalam memorinya. Terima kasih abah! Kata abah, aku anak Abah.. =) Gembiranya...  :']

Semoga rahmat, barakah dan perlindungan Allah sentiasa buatmu Abahku..


Encik che wan amran bin che wan abdullah bin wan tholib( engku tholib tanjung) bin wan ismail bin wan ishak(engku sohok) bin tun abdullah bin tun da (engku isop)bin tun abdul majid(bndhr pahang V t.m 1722 - 1760) bin tun abas(bndhr pahang III t.m 1719 - 1760) bin tun muhammad (tun abdul jalil marhum kuala pahang) bin tun habib abdul majid (bndhr johor,mangkat t.m 1697)

Sayang abah! =)

 


No comments:

Post a Comment