Saturday, March 24, 2012

Pemuda mesti ada 'umph' =)

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .

2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .

3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .

5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .

7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .

8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .

9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .

10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .

11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....

12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?

Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .


p/s: Saya rindu pada teman-teman seperjuangan..
       Gigih menguatkan apabila ada yang lemah..
       Bahkan apabila lemah, tetap zahirkan seolah-olah kuat kerana tidak mahu yang lain turut lemah..
       Teman.. seandainya kalian rasa mahu lari dari perjuangan ini, daku ucapkan silakan..
       Silakan seandainya kalian sudah tidak mahu menjadi mukmin sejati..

       Yang sentiasa setia pada janji untuk mencapai Redha Ilahi..
        InsyaAllah, selagi nyawa masih dikandung badan, kita akan terus sama-sama berjuang..

       
Salam sayang fillah.. Teruskan perjuangan.. Kenangan ditarbiyah bersama-sama kalian di DQ sentiasa dalam ingatan.. =)
Mereka kesayanganku! insyaAllah, moga selama-lamanya..

Friday, March 23, 2012

Bahagia dalam jagaanmu..

Bismillah, walhamdulillah..
Assalamu'alaikum warahmatullah..

Saat ingin diluahkan coretan hati ini, bibir mengukirkan senyuman mesra.

Mesra kerana bahagia.

Bahagia membuahkan ceria.

Ceria menyuburkan gembira.

Gembira menjadi puterimu, Abah.. =)

Terima kasih abah.. Diri ini sangat bahagia menjadi puterimu.
Didikan abah ku lihat berbeza dengan ayah teman-temanku yang lain. Mungkin ada juga persamaan, mungkin juga langsung tiada.

Waktu kecil-kecil dulu, kami adik-beradik, apabila mengingkari syariat seperti meninggalkan solat secara sengaja dan menganggu ketenteraman individu lain, kami terdidik dengan denda. 'Iqob yang menatijahkan satu perasaan indah selepas dinilai dengan pandangan mata hati. Apa yang perlu abah huraikan, beliau akan huraikan dan perjelaskan satu-persatu. Akan tetapi, apa yang tidak perlukan penjelasan dan hanya perlukan pengamatan, beliau akan melatih anak-anak berfikir sendiri.

Anda pernah ditinggalkan keseorangan di luar rumah pada waktu malam, dalam keadaan rumah tidak berpagar dan suasana yang gelap gelita ditemani nyamuk-nyamuk yang setia? Saya pernah! Adik-beradik lain tidak dibenarkan membantu. Kadang-kadang, sehingga tertidur di anjung rumah. Sangat indah kenangan itu.

Abah ingin mendidik kami erti pergantungan kepada Allah. Muraqabah dan berasa sentiasa diawasi oleh Allah. Dosa atau pahala yang akan dipilih sekiranya kita merasakan Allah sedang mengawasi kita? =) Terima kasih abah..

"Abah, comel tak Sobirin pakai seluar dengan baju labuh ni gi pasar minggu?"
"Comel dah.. tapi kalau pakai jubah macam biasa pun lagi comel.."
Kan comel kalau istiqamah macam ni.. =)

Mungkin pada pandangan orang lain, perkara seremeh itu pun mahu dirujuk kepada ayah.
YA! Saya perlu rujuk kepada abah saya. Setiap pemakaian saya, walaupun sudah besar panjang, abah tetap sentiasa menjadi tempat rujukan saya selain bonda. Abah sangat menitikberatkan soal aurat, kesopanan dan cara pemakaian yang terbaik terhadap anak-anaknya terutamanya saya. =) Sebab itu, andai tiada keperluan, abah tidak membenarkan anak-anak perempuannya berseluar apabila keluar dari rumah. Tarbiyah yang telah dipupuk sejak kecil, semoga akan terus subur dalam penghayatan dan amalan. :)

Saya pernah melakukan satu kesilapan dan saya sangat serik untuk melakukannya sekali lagi. Teguran abah membuatkan sayang saya kepada abah semakin bertambah. Allah.. Beruntungnya saya menjadi puteri abah..

                                                    *************************
Ketika itu, saya keluar bersama teman-teman. Pertemuan selepas Asar berakhir sehingga hampir terbenam matahari.

"Ya Allah.. dah dekat Maghrib ni. Mesti ma abah saya risau ni, saya tak balik lagi"

Tetapi, waktu itu, saya seolah-olah mengambil enteng tentang perkara ni walaupun saya sudah sedia mafhum, ibu bapa saya sangat bertegas dalam soal waktu kepulangan anak-anak ke rumah. Waktu untuk azan Maghrib berkumandang masih berbaki hampir 20 minit. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk menunggu azan masuk dan bersolat di rumah sahabat saya. Usai solat Maghrib barulah saya pulang ke rumah yang memakan tempoh masa perjalanan hampir 15 minit juga. Sepanjang perjalanan, saya bimbang jika Allah tidak meredhai saya kerana saya telah mengecewakan ibu bapa saya. Perasaan bersalah mula timbul. Ya Allah, selamatkanlah perjalananku.

Sampai sahaja di rumah, dengan muka dan perasaan bersalah, saya lihat abah sedang berada di ruang tamu. Saya kira memang abah sedang menunggu kepulangan saya.

"Abah.. Sobirin minta maaf balik lewat.."

Abah dengan penuh hikmah menasihati saya. Saya tabahkan hati untuk tidak menangis di hadapan abah. Menangis bukan kerana tertekan. Tetapi terharu dengan kecaknaan dan kasih sayang abah terhadap saya.

" Sobirin anak perempuan. Yang sangat mudah terdedah kepada fitnah. Abah bimbang abah akan ditanya oleh Allah nanti. Abah selalu menasihati anak didik abah sebelum ini untuk menjaga diri. Tetapi abah khuatir anak abah pula teruji. Kita bawak imej islam. Lain kali, pukul 6.30 petang, dah kena ada di rumah. Jaga air muka abah. Dah, Sobirin gi masuk."

Bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya menjadi anak beliau. Di saat sahabat -sahabat saya, asyik bercerita yang ibu bapa mereka tidak akan bertanya ke mana mereka pergi selagi jam masih belum menunjukkan pukul 12 tengah malam. Bagi saya, saya tidak pernah merasakan saya dikongkong. Bahkan saya bersyukur kerana terdidik dan terkawal dalam suasana penuh ketegasan dan kasih sayang.

"Abah.. jom lah kita buat pagar rumah. Nanti  tak lah kambing makan pokok bunga Ma.."

Respon abah menyebabkan saya tersenyum bangga. Abah berjiwa pejuang!

"Kalau kita buat pagar, nanti ruang untuk ceramah akan terbatas. Takpe lah gini pun, kita bantu Islam, Allah akan bantu kita dan mengukuhkan kedudukan kita.. "



Saya tidak malu apabila orang mengatakan saya anak manja, anak mak ayah. Bahkan saya gembira kerana saya mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Manja bukan bererti saya berkepit 24 jam dengan mak dan tidak mampu berdikari. Anak manja bagi saya, anak yang sentiasa mengutamakan ibu bapa dalam apa jua tindakan selepas mengutamakan pandangan Allah. Bahkan orang tua saya sendiri memotivasikan saya supaya jadi begitu. Berdikari, aktif dan elakkan dari menyusahkan orang lain. Terima kasih Ma & Abah..
Percaya atau tidak, apabila anda rapat dengan ibu dan bapa anda, anda telah mencipta satu kekuatan yang luar biasa. Ini kerana setiap saat, anda berusaha menggembirakan hati mereka dan tanpa kita sedari, Allah telah menilai tindakan kita sebagai satu kebajikan.


Terima kasih abah, kerana sangat memahami anakmu ini. Setiap kerenahku dilentur dengan penuh bijaksana. Abah, sepertimana Sobirin berbangga menjadi anak abah, insyaAllah Sobirin akan banggakan Abah suatu hari nanti, insyaAllah. Semoga abah juga gembira memilikiku sebagai anakmu. Terima kasih yang teramat atas didikan, kasih sayang dan hikmah serta keizinan untukku memperbaiki khidmatku untuk Islam. Sokongan dan dokongan dari abah hanya Allah yang selayaknya membalas. Abah sentiasa tahu apa yang terbaik untukku. Oleh kerana itu, kriteria menantu pilihannya sebagai calon untukku juga telah disimpan kemas dalam memorinya. Terima kasih abah! Kata abah, aku anak Abah.. =) Gembiranya...  :']

Semoga rahmat, barakah dan perlindungan Allah sentiasa buatmu Abahku..


Encik che wan amran bin che wan abdullah bin wan tholib( engku tholib tanjung) bin wan ismail bin wan ishak(engku sohok) bin tun abdullah bin tun da (engku isop)bin tun abdul majid(bndhr pahang V t.m 1722 - 1760) bin tun abas(bndhr pahang III t.m 1719 - 1760) bin tun muhammad (tun abdul jalil marhum kuala pahang) bin tun habib abdul majid (bndhr johor,mangkat t.m 1697)

Sayang abah! =)

 


Friday, March 16, 2012

Kecil vs Besar

Bismillah Walhamdulillah.. Assalamu'alaikum.. Alhamdulillah dan Syukur kepada Allah kerana masih mengurniakan kita nikmat Iman & Islam, jua nikmat kesihatan dan masa lapang. Mudah-mudahan kita menjadi hambaNYA yang sentiasa bersyukur.. Amiin.. ^___^  Salam & Selawat buat Rasulullah yang sentiasa dirindui. Salam hormat untuk semua pengunjung blog yang terus setia menjejakkan ziarah di sini. Jazakumullahu khairan jaza'.. =)
Syukur hanya kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Yang mentadbir seluruh kehidupan makhlukNYA.
Jika dihitung, terlalu banyak kebaikan yang Allah kurniakan kepada kita. Musibah dan ujian yang menimpa pula segalanya atas izin dariNYA. Tiada satu makhluk pun yang mampu memudharatkan kita melainkan dengan izin Allah.
Kecil vs Besar
Dalam mengharungi kehidupan seharian, kita pasti berhadapan dengan pelbagai ragam dari manusia sekeliling kita. Ada ke manusia yang mampu hidup sorang2 ye? :) Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu akur bahawa kita terpaksa juga berhadapan dengan semua orang dari pelbagai kefahaman, latar belakang keluarga, pendidikan dan juga tahap penghayatan terhadap agama.
Saya ingin kongsikan sedikit pengalaman saya sebagai penunggang motosikal tegar (adakah istilah ini wujud ye?). Sebagai muslimah, saya tidak merasakan ia adalah satu halangan atau kekangan untuk sama-sama bergerak dan bertebaran di bumi Allah selagi mana syariat masih dipertahankan. Bermotosikal, tetapi masih boleh menjaga adab & akhlak di jalan raya.
Motosikal itu KECIL jika dibandingkan dengan kereta Camry yang lebih BESAR.
Kecil atau besar saiz kenderaan yang kita tumpangi, bukanlah bererti kita boleh berbuat sesuka hati dan menolak segala adab dan nilai murni.
Adalah lebih baik kita sentiasa merendahkan hati dan saling menjaga akhlak kerana kita sama-sama berkongsi kebaikan untuk memperoleh kebaikan juga.
 Tolonglah berakhlak..
"Allah.. kenapa pak cik ni himpit motosikal kita ni. Sampai dah bergesel kaki dengan body Hiluxnya."
"Ya Allah.. Encik ni masuk lorong sesedap rasa dia je ye.."
"Pak Cik..... Tolonglah bagi signal dulu boh! Saya tak jumpa dengan orang tua saya lagi ni.."
"Ya Allah.. Abang ni pakat main potong sebelah kiri.. Dah tu kita yang bawak moto ni nak masuk celah lorong mane?.."
Itulah antara situasi yang membuatkan saya sentiasa termuhasabah. Termuhasabah dengan adab dan akhlak pengguna jalan raya yang sama anutan agamanya dengan saya. Lagi menyedihkan apabila mereka berpakaian seperti saya & juga ikhwan saya yang lain. Islam hanya pada pakaian sahajakah?
Saya pernah memandu kenderaan-kenderaan yang lebih besar daripada sebuah motosikal. Kereta Viva, Vios, Kancil, Honda yang entah apa namanya. Saya juga pernah menjadi penumpang kepada kenderaan yang lebih mewah dan besar kosnya seperti Mercedes-Benz, Alphard, Estima.. Akan tetapi syukur kerana mereka masih istiqamah menjaga adab dan berakhlak sepanjang perjalanan. Terima kasih kerana masih tidak mengkhianati kepercayaan saya.
Kita bersaudara
Walau siapa pun kita, marhaen biasa mahupun keturunan diRaja, kita tetap hamba Allah Yang Maha Esa. Kita mungkin lebih berkemampuan untuk memiliki kenderaan yang baik, akan tetapi tanpa sedetik pun kita melupakan insan yang masih belum berkemampuan. Rendahkan hati untuk sama--sama berkongsi. Kecil atau besar kenderaan yang telah diizinkan oleh Allah untuk kita naiki, bersyukur dan berakhlaklah kerana suatu hati nanti mungkin kita akan teruji. Teruji dengan musibah yang pernah kita lakukan terhadap orang lain yang tanpa kita menyedarinya.
Pesanan saya, berhati-hatilah di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang. Fikirkanlah tentang masa depan Islam dan perjuangan andai kita masih mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keselamatan dan ketenangan individu lain.
"Islam itu indah. Usah kita kotorinya dengan akhlak mazmumah!"
Selamat menjaga diri dengan menghalusi budi pekerti.. Semoga selamatlah dunia akhirat. =)
Sayangi diri demi Islam dan Perjuangan.
(Teman seperjuangan) =)