Friday, June 1, 2012

29 Mei 2012

Bismillah, walhamdulillah.
Assalamu'alaikum. Alhamdulillah syukur kepada Allah, salam dan selawat kepada Rasulullah, salam tarbiyah buat semua. Semoga kita sama-sama memperoleh kebaikan, saling berkongsi kebaikan dan berlumba-lumba ke arahnya. Untuk pengisian kali ini, saya ingin kongsikan secebis kenangan manis yang saya rasakan mampu mendatangkan motivasi untuk kita semua. :)

Mungkin ada sahabat pengunjung pernah mengalami apa yang saya rasakan. Perasaan yang mendalam tetapi sukar untuk diungkap. Sebak? Sayu? Rindu? Rasa kehilangan? Segala rasa bercantum menjadi satu. Tetapi saya akui perasaan ini telah mencengkam hati saya. Saya jadi kehilangan mood. Daripada seorang peramah, saya menjadi kurang mahabbah. Perasaan itu! Perasaan itu yang membawa saya ke sini. Ya Allah.. Sampai bila aku harus terus begini? Saya muslimah, mujahidah yang pernah berbai'ah denganMU Ya Allah.. Saya tidak boleh kalah! Saya harus gagah mendepani mehnah! Ya Allah.. Jangan biarkan aku terus rebah! :(

Saya tahu puncanya! Selain perlu memperbaiki hubungan dengan Allah, saya kehilangan sesuatu yang telah mendidik saya. Sunnah Rasulullah yang saya sendiri telah diamanahkan untuk meneruskannya. USRAH! Ya, usrah! Saya boleh menjadi kuat dan menyalurkan kekuatan kepada rakan-rakan dengan berwasilahkan usrah kerana saya yakin, orang-orang yang inginkan kebaikanlah yang akan terus mencari dan istiqamah bersamanya.

Perasaan ini juga telah membawa saya untuk mencarinya semula. Walaupun tiada adik-beradik usrah di sini, bukan bererti saya boleh terus melayukan diri saya. Alhamdulillah, hasil perbincangan dengan seorang sahabat seperjuangan, Elah, kami sepakat mengaturkan pertemuan. Sahabat-sahabat Dungun dihubungi untuk sama-sama berkongsi sesuatu sewaktu pertemuan bermakna itu nanti.

" Salam muslimah solehah yang dikasihi sekalian, insyaAllah pertemuan kita pada petang ini bertempat di perkarangan kedai Kak Sah yang dekat dengan Imtiaz B tu. Jumpa di sana ya! =) "

Syukur Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan ini. Sahabat-sahabat ini masih setia saling mencintai kerana Allah. Walaupun sekarang kampus masing-masing sedang bercuti, namun masih ada sedikit masa yang sudi diluangkan bersama. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.. =)



# Berkasih sayang kerana Allah #

Setelah menikmati santapan ringan pada petang itu, kami segera bergegas ke Pantai Teluk Gadung untuk pengisian seterusnya. Perut sudah diisi, maka sekarang waktunya untuk rohani kami pula diisi. =) Sempat lagi kami bergambar-gambar sebelum slot usrah bermula. :) <><><><>
Geng Sahabat Dungun ^__^
Setelah mencari port yang paling sesuai, kami memulakan Usrah yang sangat menjadi kerinduan hati ini. Antara pengisian pada petang ini ialah:
                       
                        # Ukhuwwah fillah
                        # Erti sebuah ujian
                        # Hebatnya kuasa doa
                        # Taujihat buat wanita solehah

Tidak kurang juga ada sahabat yang meluahkan rasa dan gembira tentang ukhuwwah kami yang telah lama terjalin ini. Terima kasih sahabat. InsyaAllah, semoga cinta kita akan menjadi penguat semangat untuk bermujahadah memburu Mardhatillah. =)

Bulatan gembira~


'Sharing is Caring'
Agama itu nasihat.. =)
Enam sahabat ini terdiri daripada Aisah, Fatin Liyana, Elah, Nadiah a.k.a Mama Yah, Nuyuu dan saya. Masing-masing berkongsi kisah di kampus, isu politik negara, isu nasional membabitkan masa depan ummah dan anak bangsa. Sesungguhnya usrah gabungan banyak kampus ini memang best! :)
Seorang mahasiswi Upsi, dua dari meraka menuntut di IPG, dan dua lagi masing-masing di UiTm. =)


Gaya seorang bakal guru.. =)

Ukhuwwah islamiyah memang tidak mengenal erti memilih bulu bahkan menyubur dan menyebarkan kasih sayang dan persaudaraan. Dakwah dan islah perlu bermula dari diri kita sendiri. Seandainya tugas ini hanya ditaklifkan kepada sesuatu puak sahaja, maka pasti ramai yang memilih untuk tidak mahu bersama mendokong tugasan murni, amanah dari Ilahi ini. Kerana hakikatnya jalan perjuangan itu panjang dan penuh liku.
Pertemuan penuh makna yang diizinkan oleh Allah pada 8 Rejab itu moga-moga menjadi wasilah untuk kami lebih konsisten untuk meletakkan islam di tempat yang paling tinggi. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana telah mengubati kerinduan ini. Rindu dan akan terus merindui usrah. Kerana kita mengharapkan akan terus berusrah di syurga Allah kelak. Allahumma amiin.. =)

Pesanan murabbi saya, jika merasakan jiwa kosong tiada pengisian, bersegeralah mengisinya dengan kebaikan agar ruang kebatilan tidak sempat untuk mengambil tempat. Benarlah, jika kita tidak sibukkan diri dengan tarbiyah, pasti jiwa mudah untuk selesa dengan perkara syubhah. Kekuatan itu perlu dicari, bukan dinanti! =)


" Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah saudara-saudaramu yang bertelagah, berTAQWAlah kamu kepada Allah, mudah-mudahkan kamu mendapat rahmat.." (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

 Ilmu itu bukan hanya di dalam bilik kuliyah. Setiap hari yang kita lalui adalah menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mengenal manusia jua semua makhluk Allah di universiti kehidupan.
Sekian sahaja untuk kali ini. Wallahua'lam.


<><><><>
Keindahan alam ciptaan Allah yang perlu direnungi dengan mata Hati.. =)

Catatan hati,
ilmi alfauzanie
teratak kasih ayahbonda,
Dungun, Terengganu.
1Jun, 3.05 am

Wednesday, May 16, 2012

Ini jihadku!

Bismillah Wal Hamdulillah. Syukur kepada Allah, salam dan selawat buat Rasulullah, murabbi ummat yang terhebat, salam perjuangan buat penjulang kalimah tauhid di mana sahaja kalian berada. Semoga dalam perlindunganNYA sentiasa. (",)

Banyak peristiwa dunia yang terakam indah di negara bertuah ini. Indah setelah dinilai ianya sebagai ibtila' yang wajib dilalui oleh pencinta kebenaran. Tarbiyah dari Allah untuk pihak yang benar dalam menghadapi lawan yang sentiasa meletakkan islam di belakang. Walaupun perit untuk ditelan, tetapi sedikit sebanyak ia menjadi ubat untuk memujuk hati, bahawa sesungguhnya seluruh dunia menyaksikan kezaliman itu! Ya, kezaliman!

Tahniah Polis Raja Di Malaysia!
Kalian yang terlibat dengan kezaliman, silalah jawab di hadapan Allah nanti!
Pengalaman manis yang pernah dilalui, menjadi kenangan yang bakal diwarisi oleh generasiku selepas ini. Mujahid dan mujahidah yang hebat akan lahir dari seorang ibu yang hebat! Dan ayah yang hebat juga! :) Hebat bukan bererti menjadi kegilaan sang pemuda, ataupun memiliki segalanya yang membawa dirinya ke lembah hina. Akan tetapi, kehebatan yang sebenar adalah kesungguhan untk membuktikan kecintaannya kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan. Jiwa yang sentiasa ingin mempersembahkan yang terbaik kepada Allah, tanpa mengharapkan pujian atau perhatian makhluk Tuhan sekalian Alam. Semoga kitalah hambaNYA yang terpilih di sisi Allah..

Mansuhkan ISA, menjadi demostrasi pertama yang disertai. Bersama teman seperjuangan, seiring berjalan menuju ke destinasi yang disasarkan. Kenangan yang menjadi titik-tolak agar saya terus kuat untuk meneruskan perjuangan. Situasi yang menyedarkan saya, bahawa kita semua rakyat Malaysia saling memerlukan. Permulaan untuk saya menyedari tentang hakikat perjuangan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. Saya tidak akan serik walaupun ditahan selama seminggu di wad Hospital Kuala Kubu Bharu setelah pulang dari medan juang itu. Sekali-sekala rasa sakit.. =) Rasulullah dulu berjuang sampai patah gigi, luka sana sini, takkan yang sikit macam ni dah nak berhenti.. Kan, kan?

Bersih 2.0. =) Allah2.. Rasa masih belum mampu percaya bahawa saya turut bersama-sama mereka sewaktu itu. Himpunan aman itu berlangsung pada hari Sabtu, manakala pada hari Isnin pula saya akan menghadapi imtihan Hifzul Quran Syafawi akhir, 30juzu'. Alhamdulillah, setelah menimbang tara tentang persiapan dan segala kemungkinan yang akan mendatang, tawakkal kepada Allah saya mulakan langkah. Alhamdulillah, saya selamat pergi dan selamat kembali. Penangan gas pemedih mata dan air 'berkat' water canon masih bersisa dan berbekas di hati! Allah menjadi saksi bahawa rakyat sudah mula bangkit. Bangkitkan jihad! Alhamdulillah, dengan pertolongan dari Allah, saya dapat menjawab semua soalan yang diajukan oleh mumtahin dengan baik. Syukur Ya Rabb. Benarlah firmanMU dalam surah Muhammad ayat 7. "Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan mendatangkan pertolonganNYA kepadamu dan mengukuhkan kedudukanmu."
Yakinlah wahai pejuang!
Sape tahu yang mane satu saya? :)
Bersih 3.0 menjanjikan saya tidak berkesempatan untuk menghadirkan jasad saya di Dataran Merdeka. Akan tetapi, seperti bait indah yang telah dituturkan oleh Syeikh Mustafa Masyur, saya percaya bahawa seorang pejuang itu akan turut membawa hati teman-teman seperjuangannya. Saya berada bersama-sama teman saya yang berpeluang 'mengubah kemungkaran dengan hati'. InsyaAllah, saya berada di dalam hati mereka. =)

Saya bersama kalian. Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk menghadapi gelora fitnah dan kejahatan yang telah direncanakan sempena PRU ke-13 nanti. Siiru 'ala barakatillah.. =)



Catatan Hamba Allah,
Yang sedang merindui jalan juang itu..
16Mei, teratak kasih ayahbonda.

Sunday, May 13, 2012

Cara Rasulullah menjalinkan persahabatan

Bismillah Walhamdulillah..
Pembaca yang budiman,

Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam. Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.

Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]

Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: "Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu."
Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]

1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]

2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]

3) Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar bertakwa.
Sumber: iluvislam.com

Bersama teman berbangsa Arab yang baik, berta'aruf juga di tempat yang baik..
Huluran salam, mengaji bersama, berkongsi air dan tamar..
Sebak terkenangkan doa & harapan yang diluahkan oleh beliau..
InsyaAllah, andai kita tidak bertemu semula di dunia, di syurga nanti kita bakal bersua semula..
Tasbih sebagai hadiah ingatan menjadi pengganti diri..
Ya Allah..kirimkan kerinduanku buat insan mulia ini..

Saturday, May 12, 2012

Bila Ianya Hadir..

Bismillah, Walhamdulillah..
Syukur kepada Allah,Tuhan sekalian alam atas daya dan upaya yang dikurniakan. Salam dan selawat buat Junjungan yang sentiasa dirindui, Rasulullah pembawa rahmat buat sekalian alam. Salam perjuangan buat seluruh pejuang-pejuang Islam yang tidak kenal erti penat lelah dan tidak pernah rebah walaupun lemah. Terima kasih kepada teman-teman yang masih setia menziarahi blog ini. =)

Bila ianya hadir.
Kehadirannya tidak diundang bahkan kadang-kadang tidak pernah mendapat seruan.
Hadir sebagai sebuah kesaksian bahawa diri ini seorang manusia yang normal.
Normal kerana masih berfungsi fitrah yang sepatutnya.
Alhamdulillah...

Fitrah seorang wanita, bahkan juga kepada seorang lelaki. Merasakan sunyi tanpa pasangan di sisi. Akan tetapi, selagi masanya belum tiba, perasaan ini memerlukan semangat yang kental untuk bermujahadah menjaga kehormatan diri. Bukan kerana malu dan takut kepada manusia, tetapi malu kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Yakinlah pahlawanku.. Percayalah serikandiku..
Bila tiba masa yang tepat dalam aturan dan perancangan Allah, kalian akan mengetahui siapakah gerangan pasangan yang telah lama tercatat namanya di Luh Mahfuz. Menantilah dengan penuh kesabaran. Pertemuan itu pasti akan berlangsung diiringi dengan air mata kegembiraan penuh kesyukuran. InsyaAllah.. =)
Saat ini pasti tiba..

Ciptalah impian kasih yang penuh dengan kesenian.. Penuh keberkatan.. Tanpa dicemari dengan dosa, noda dan debu kotoran bahkan sampah di jalanan. Semoga rumahtangga yang terbina menjadi sebuah medan pemangkin untuk setia mara dan bersemangat untuk terus berjuang..

Seandainya teman-teman kalian telah berpunya, jangan merasakan bahawa diri kita tidak ada yang hendak. Tetapi, optimislah dengan perancangan Allah. Allah masih memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki hubungan cinta kita dengan DIA.. Allah pencipta kita, maka memang layak Allah yang paling mengenali segala perkara yang terbaik untuk kita.
Andai tidak di dunia, mudah-mudahan di syurga.. :)


: Cacatan ini istimewa buat pejuang dan pencinta Islam yang masih samar-samar 'mencari'.. Carilah, insyaAllah kalian akan bertemu dengan apa yang dikehendaki.. Usah bertangguh-tangguh dalam melaksanakan perkara yang baik. Nusrah Allah pasti akan bersama seandainya kita meletakkan redha Allah sebagai matlamatnya. Semoga akan terus utuh memegang prinsip. Prinsip untuk menjaga kehormatan diri dan hati.. Seandainya kalian bercita-cita mahu menjadi seorang Ulama' Haraki, jangan biarkan diri kalian berada dalam tempoh pertunangan yang lama dan terisi dengan perkara noda walau secebis cuma. Tetapi, andai Ulama' Hadhari matlamatnya, silakanlah..

Ya Allah.. peliharalah cintaku.. Peliharalah hatiku.. Peliharalah jua cinta hatiku..
Insan dhaif,
ilmi alfauzanie
teratak bahagia, Dungun..
12 May 2012, 12.10am

Friday, April 6, 2012

Santai pagi~

Assalamu'alaikum.
Salam petang Jumaat. Hari yang merupakan ibu kepada segala hari.
Pengalaman bermakna bermula dari pagi sehingga ke saat ini..
Allahu Akbar! Aturan Allah memang yang terbaik! Selamanya yang terbaik!
Senyum lebar apabila mengimbau kenangan yang baru berlaku pada hari ini..
Allah.. manisnya rencanaMU..
Terima kasih Allah.. Alhamdulillah..

"Ilmi!!!! Kak Catriona tak dapat hadir! Ibunya kemalangan dan kritikal sekarang!, "
"Ya Allah..!! ujian untuk Kak Cat. Pastu nanti sape nak ganti beliau? Akak jangan cakap lambat2 tau, kalut ilmi kat depan tu nanti.. hehe. "

Sesi tazkirah dhuha yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Azman Shapawi telah berakhir.
Tiba sesi makan pagi. Dan slot yang sepatutnya bersama Kak Cat masih belum terisi penggantinya. Siapakah? Bilakah mahu tiba?
Tengah kalut-kalut tengok orang sediakan teks ucapan, di saat aku pakat tibai je nak cakap, haha. Tiba-tiba saya dibisikkan sesuatu.
"Ilmi, nanti Ustaz Nik Abduh tau ganti Kak Cat.."

Allah! Saya bakal bertemu dengan seorang ulama'.
Perancangan Allah mengatasi segala rencana manusia.
Alhamdulillah.. =)

Biarlah foto yang berbicara.. ^__~

Terima kasih kepada Encik Noraza dari Muslim Bikers selaku M.C ke-2 :)
Setia menanti sebelum ustaz berucap.
Bicara seorang ulama' =)

penganjur program..
Mencipta kenangan bersama.. =)
Thanks dear..

Saturday, March 24, 2012

Pemuda mesti ada 'umph' =)

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .

2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .

3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .

5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .

7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .

8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .

9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .

10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .

11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....

12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?

Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .


p/s: Saya rindu pada teman-teman seperjuangan..
       Gigih menguatkan apabila ada yang lemah..
       Bahkan apabila lemah, tetap zahirkan seolah-olah kuat kerana tidak mahu yang lain turut lemah..
       Teman.. seandainya kalian rasa mahu lari dari perjuangan ini, daku ucapkan silakan..
       Silakan seandainya kalian sudah tidak mahu menjadi mukmin sejati..

       Yang sentiasa setia pada janji untuk mencapai Redha Ilahi..
        InsyaAllah, selagi nyawa masih dikandung badan, kita akan terus sama-sama berjuang..

       
Salam sayang fillah.. Teruskan perjuangan.. Kenangan ditarbiyah bersama-sama kalian di DQ sentiasa dalam ingatan.. =)
Mereka kesayanganku! insyaAllah, moga selama-lamanya..